Disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus yang kerap berlaku.
Kanak-kanak Disleksia mempunyai masalah menguasai tugasan sekolah walaupun mereka telah berusaha bersungguh-sungguh
Mempunyai keupayaan intelek yang normal
Telah mendapat rangsangan dan pembelajaran yang mencukupi
Masalah asasnya adalah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi
Mereka mungkin mengalami kesukaran membaca, menulis ,memahami ,mengeja dan mengira.
Dianggarkan 4 – 8 % pelajar sekolah yang bermasalah disleksia
Kanak-kanak lelaki lebih ramai bermasalah Disleksia berbanding perempuan.
Apakah ciri-ciri Disleksia?
Diperingkat pra sekolah mereka mungkin :
-Lambat bertutur
-Mengalami kesukaran sebutan atau rima
-Sukar menulis nama sendiri
-Sukar mengenal bentuk atau warna
-Sukar memberitahu cerita yang telah didengarinya
Di alam persekolahan, kanak-kanak Disleksia mungkin :
-Gagal menguasai tugasan sekolah seperti membaca, menulis, mengeja atau mengira
-Tidak suka membaca dan mengelak dari membaca di kelas
-Kesilapan semasa membaca huruf, perkataan atau nombor (Bacaan terbalik) :
-membezakan 15 dengan 51
- “was” menjadi “saw”
- ‘b’ dengan ‘d’‘
- Kurang koordinasi seperti sukar mengikat tali kasut
- Keliru dengan konsep masa seperti ‘semalam’, ‘ hari ini’ , ‘esok’
- Kesukaran memahami, mengingati dan mengikuti arahan
- Selalu tersalah letak atau hilang barang atau kerja sekolah
Adakah individu Disleksia mempunyai keistimewaan?
Antara orang ternama yang juga mengalami Disleksia termasuklah ahli politik (Lee Kuan Yew), pelakon (Whoopi Goldberg), artis (Leonardo da Vinci) dan saintis (Albert Einstein)
Ramai yang berdaya imaginasi tinggi, amat kreatif dan mampu berfikir dari pelbagai sudut / dimensi
Bijak dengan kemahiran tangan atau sukan.
Masalah yang mungkin dialaminya
- Salah sangka dan digelar sebagai malas, bodoh atau lembab
- Pembentukan imej diri yang sihat terjejas dan mengalami rasa rendah diri
- Jika tidak dikenalpasti dan dibantu diperingkat awal boleh menyebabkan
- Gangguan emosi (seperti kemurungan)
- Masalah tingkahlaku (seperti melawan, kecelaruan tingkahlaku)
- Rendah pencapaian akademik (menyebabkan keciciran sekolah)
Membantu anak-anak bermasalah Disleksia
Langkah-langkah untuk membantu mereka termasuklah :
- Bantu kanak-kanak dan keluarga mengendali permasalahan ini dan bina keyakinan diri anak
- Rawat penyakit lain yang mungkin berkait seperti Gejala Hiperaktif dan Kurang Daya
Tumpuan
Pertingkatkan potensi pembelajaran anak melalui :
-Terapi pertuturan
-Latihan pendengaran dengan bantuan komputer
-Pendekatan pelbagai deria (Menggunakan deria lain untuk membantu pembelajaran)
-Deria sentuhan
Tiada ubat untuk sembuhkan disleksia
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Hanya sokongan, usaha gigih dapat bantu anak dari segi pembelajaran
APABILA anak anda masih gagal menulis namanya sendiri walaupun sudah berusia tujuh tahun, jangan cepat mengatakan dia bodoh atau lembam. Pernahkah anda terfikir bahawa anak anda mungkin berhadapan dengan masalah disleksia?
Apatah lagi jika dia sukar memahami, mengingati atau mematuhi arahan dan tidak faham konsep masa seperti semalam, hari ini atau esok.
Disleksia adalah masalah kurang kemampuan dari segi pembelajaran menyebabkan mereka bermasalah untuk membaca, mengeja dan memahami. Ia bukan masalah intelektual kerana dari segi IQ mereka bijak tetapi ketidakupayaan membezakan huruf, nombor, menterjemahkan bunyi dan visual dalam penulisan menyebabkan mereka gagal untuk belajar.
Disleksia sebenarnya berpunca daripada perbezaan otak memproses bahasa penulisan dengan bahasa pertuturan. Dipercayai sistem neurologi yang tidak berfungsi dengan betul menyebabkan gangguan pada struktur otak.
Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata disleksia adalah disebabkan perbezaan otak memproses tulisan dan pertuturan.
Beliau berkata, tiada statistik mengenai disleksia di Malaysia namun dianggarkan antara empat hingga lapan peratus kanak-kanak pada usia persekolahan berhadapan dengan disleksia manakala kanak-kanak lelaki lebih cenderung berhadapan dengan masalah itu berbanding kanak-kanak perempuan.
"Kanak-kanak disleksia bukan kanak-kanak lembam atau bodoh, mereka cuma kurang kemampuan dari segi pembelajaran. Namun, itu tidak bermakna mereka akan gagal dalam hidup. Mereka masih boleh belajar dan diajar dengan formula tertentu," katanya.
Bagi membela nasib kanak-kanak disleksia, Persatuan Disleksia Malaysia memiliki tiga pusat pembelajaran khas untuk golongan ini. Bertempat di Ampang, Subang dan Titiwangsa, pusat ini melatih kanak-kanak selama tiga bulan atau paling lama enam bulan sebelum mereka kembali semula ke alam persekolahan.
"Disleksia adalah masalah seumur hidup. Ia bukanlah masalah jika mereka diberi peluang untuk belajar. Ada kanak-kanak disleksia yang berjaya hingga ke peringkat universiti," katanya.
Dari sudut perubatan, disleksia dikaitkan dengan faktor genetik, namun tahap masalah pembelajaran bagi setiap kanak-kanak itu tidak sama. Ada penyelidik percaya komplikasi ketika hamil atau ketika melahirkan bayi menyebabkan sedikit kerosakan pada otak.
Umumnya, kanak-kanak ini berhadapan dengan kesukaran belajar membaca dan mengeja. Otak mereka juga kurang berupaya menterjemah imej yang diterima daripada mata atau bunyi yang didengar telinga kepada bahasa yang difahami apabila dituturkan.
Biasanya kanak-kanak disleksia boleh mengeja dengan betul tetapi kedudukan perkataan itu tunggang terbalik atau tertinggal huruf vokal. Misalnya perkataan tiap-tiap ditulis sebagai tipa-tipa. Apabila guru menyebut 13, kanak-kanak disleksia akan menulis 31. Jika guru meminta mereka mengeja perkataan diam mereka menulis d i y a m, kalau disebut di - am, barulah ditulis diam.
Sariah berkata, disleksia kerap dikesan pada umur persekolahan. Selalunya ibu bapa dan kanak-kanak itu sendiri kecewa kerana gagal belajar membaca dan menulis dengan baik sehingga membawa kepada masalah kemurungan dan rendah diri.
Kegagalan itu menyebabkan mereka mula bermasalah bukan saja di sekolah tetapi di rumah. Apatah lagi jika ibu bapa atau guru tidak menyedari kanak-kanak terbabit sebenarnya berhadapan dengan disleksia.
Selain itu, ada kanak-kanak disleksia yang terjejas dari segi visual, misalnya gagal menulis huruf, nombor dan simbol dalam susunan yang betul. Dari segi pendengaran, mungkin ada yang sukar membezakan huruf atau kumpulan huruf manakala ada juga yang tidak boleh memegang atau mengawal pensil di genggaman menyebabkan mereka sukar menulis dengan betul.
Disleksia boleh terjadi pada peringkat yang sangat lemah (mild), sederhana atau teruk. Namun, perlu diketahui tiada ubat untuk menyembuhkan disleksia melainkan kesabaran dalam mengajar mereka, memberi mereka sokongan dan bantuan sedaya upaya.
Ciri-ciri kanak-kanak disleksia:
Kanak-kanak pra sekolah
- Lambat bercakap
- Sukar membunyikan perkataan atau rima
- Bermasalah dalam menulis nama sendiri
- Sukar mempelajari perbezaan bentuk atau warna
- Kurang upaya bercerita semula mengenai sesuatu kejadian
Kanak-kanak yang bersekolah
- Gagal membuat kerja sekolah, membaca, menulis dan mengira
- Tidak suka membaca buku atau mengelak untuk membaca dengan kuat dalam kelas
- Cenderung menulis terbalik, misalnya 15 menjadi 51, perkataan tiap-tiap menjadi tipa-tipa
- Kurang koordinasi misalnya sukar memakai tali kasut
- Keliru dengan konsep masa, semalam, hari ini, esok
- Sukar memahami, mengingati atau mematuhi arahan
- Cenderung hilang peralatan sekolah.
Jenis disleksia:
- Disleksia trauma - jarang ditemui dan selalunya terjadi kerana trauma pada bahagian otak yang mengawal keupayaan membaca dan menulis.
- Disleksia permulaan - pesakit disleksia jenis ini sukar membaca, mengeja atau menulis. Diwarisi secara genetik dan lebih kerap ditemui pada kanak-kanak lelaki.
- Disleksia sekunder - dipercayai berpunca pembentukan hormon ketika dalam kandungan.
0 comments:
Post a Comment