Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2014.
Di sekolah kebangsaan beliau berkata, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu. Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.
Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.
Dalam sidang media khas di Putrajaya, Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementeriannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris.
"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya.
Muhyiddin menyebut beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal itu.
Rentetan peristiwa sejak pelaksanaan PPSMI
Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah
Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah
Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah
Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.
Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.
Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."
Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.
Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara." ( * Lihat ucapan beliau di bawah )
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."
Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.
K'jaan akui PPSMI banyak kelemahan | ||
|
Menteri pelajaran juga berkata laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 turut menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam Sains merosot ke tangga 21 daripada tangga ke-20 pada 2003.
"Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Menurut Bernama, beliau berkata kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.
"Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris," katanya dalam sidang media khas mengumumkan pembatalan dasar tersebut mulai 2012.
Tambahnya, berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda masing-masing di SJK Cina dan SJK Tamil.
Kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa ia tidak dapat diteruskan seperti dihasratkan, lapor agensi berita itu lagi.
"Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia," Muhyiddin dipetik berkata.
Menurutnya lagi, pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik.
"Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik," katanya.
Selain itu, tambah Muhyiddin, hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap kepetahan.
Katanya, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.
"Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus," katanya seperti dilaporkan.
Apa kata Khairy pada 23 Jun 2009 dulu tentang PPSMI :
Khairy: Jangan jadikan pelajar bahan ujian PPSMI | |
|
"Sekiranya Kerajaan yakin dengan beberapa kajian yang telah dibuat, maka buatlah keputusan demi kebaikan masa depan anak bangsa kita," kata Ketuanya, Khairy Jamaluddin dalam blognya hari ini.
Sehubungan itu, katanya, pergerakan itu menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pelajaran bahawa keputusan akhir mengenai dasar ini akan diumumkan awal bulan depan.
Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau berkata, Muhyiddin juga mengakui bahawa setakat ini, pencapaian dasar tersebut - yang dimulakan sejak 2003 - adalah nominal,
yakni tidak memberi impak yang besar dalam penguasaan bahasa Inggeris mahupun pencapaian Sains dan Matematik.
Katanya, pandangan menteri pelajaran itu selari dengan beberapa kajian sebelum ini, termasuklah kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) dengan kerjasama lapan institusi pengajian tinggi tempatan Februari lalu mengenai tahap kompetensi guru dalam PPSMI serta implikasinya terhadap pembangunan modal insan.
Kajian itu, katanya, berasaskan sampel dari 553 orang guru dan 15,089 pelajar dari kawasan bandar dan luar bandar, termasuk Sekolah Kebangsaan Orang Asli.
PPSMI rugikan murid
"Dari aspek keupayaan perlaksanaan dasar, kajian itu mendapati ramai lagi guru yang belum layak mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di mana 39.3 peratus guru (74) sekolah rendah dan 25.3 peratus guru (93) sekolah menengah gagal dalam Penilaian Tahap Profisiensi Bahasa Inggeris.
Menurut Khairy lagi, dari segi status pelaksanaan PPSMI dan sumbangannya terhadap peningkatan penguasaan dan pencapaian Bahasa Inggeris murid-murid pula, PEMBINA mendapati:
Sekolah rendah: Sumbangan dan korelasinya adalah rendah bagi mata pelajaran Sains, iaitu ia hanya berjaya menyumbang meningkatkan bahasa Inggeris sebanyak 0.7 peratus sahaja. Sementara bagi Matematik, tiada sumbangan terhadap peningkatan bahasa Inggeris.
Sekolah Menengah Aliran Sastera: Bagi mata pelajaran Sains dan Matematik sumbangan dan korelasinya rendah. Di mana bagi Matematik hanya berjaya menyumbang peningkatan bahasa Inggeris sebanyak 1.0 peratus dan 0.6 peratus bagi Sains.
Sekolah Menengah Aliran Sains: Hanya dua mata pelajaran sahaja yang menunjukkan ada korelasi dan sumbangan rendah, iaitu Kimia 2 dan Matematik Tambahan. Di mana, jumlah kedua-dua mata pelajaran ini hanya menyumbangkan sebanyak 0.9 peratus, iaitu 0.6 peratus bagi Kimia 2 dan 0.3 peratus bagi Matematik Tambahan.
Menurut Khairy, kajian PEMBINA juga mendapati pelaksanaan PPSMI menyebabkan kerugian berganda kepada murid-murid, terutama kepada kira-kira 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori sederhana dan lemah di dalam ketiga-tiga mata pelajaran, iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Kelayakan masuk Universiti
"Ini dibuktikan dengan analisa sampel terhadap keputusan peperiksaan yang diambil ke atas 5,590 murid tahun 5, kohort 2 (2004) dari 56 SK seluruh negara, menunjukkan pencapaian mereka semakin merosot, malah ada yang dengan drastik merudum apabila mereka naik ke tahun yang lebih tinggi, iaitu di Tahun 2 (2005), Tahun 3 (2006), Tahun 4 (2007), Tahun 5 (2008) dan dijangkakan berterusan di Tahun 6 (2009)," katanya.
Menurutnya, Pemuda Umno juga juga bersetuju dengan penjelasan Muhyiddin bahawa pendekatan terbaik bagi penguasaan bahasa adalah dengan menambahbaik pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut.
"Oleh itu, Pemuda Umno menyokong penuh syarat wajib lulus Bahasa Inggeris di peringkat SPM, dengan syarat adanya tenaga pengajar terlatih dan berkelayakan bagi bahasa tersebut yang cukup bagi memenuhi keperluan pelajar.
"Kesungguhan ini juga diterjemahkan dengan saranan Pemuda Umno agar kerajaan menetapkan tahap pencapaian minimum dalam ujian MUET (Malaysian University English Test) bagi kelayakan masuk ke universiti tempatan bagi meningkatkan usaha pelajar meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris mereka," katanya.
Bagi Pemuda Umno, tegas Khairy, pendekatan dan preskripsi polisi yang sesuai dengan masalah dan cabaran amatlah penting, terutama apabila ia menyentuh aspek pendidikan, yang memberi kesan dan impak besar kepada para pelajar.
Sesungguhnya, keputusan dan pertimbangan analisis untung-rugi halatuju PPSMI haruslah ditangani dengan objektif dan menyeluruh kerana ia bukannya untuk mengukir nostalgia lampau tetapi untuk membentuk halatuju dan masa depan modal insan negara
0 comments:
Post a Comment